TEKSI merupakan salah satu
pengangkutan pilihan bagi kebanyakan pengguna di Malaysia untuk menuju ke
destinasi yang diingini. Pengguna boleh menunggu di tepi jalan atau menghubungi
pihak yang mengendalikan perkhidmatan tersebut.
Meskipun ramai yang memilih
pengangkutan awam lain seperti bas, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) atau
monorel, namun hakikatnya teksi masih relevan dalam dunia hari ini.
Dalam usaha menawarkan kelainan
kepada pengguna, MyTeksi telah melancarkan perkhidmatan tempahan teksi secara
mudah alih yang pertama di Malaysia. Ia membolehkan penumpang untuk menempah
teksi dengan mudah menggunakan telefon pintar dan tablet (iOS dan Android)
selain menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).
Pengurus Besar MyTeksi, Chew Wei
Chuan berkata, khidmat tempahan teksi secara mudah alih yang inovatif ini
dipacu oleh teknologi mesin ke mesin (M2M) Maxis dan menggunakan keupayaan
Maxis sebagai pembekal perkhidmatan rangkaian 3G serta 2G terbesar di Malaysia.
"Kelainan tempahan teksi secara
digital baharu ini terletak kepada keupayaannya untuk membolehkan penumpang
menempah teksi dengan sebarang alat mudah alih, memadankan penumpang dengan
pemandu teksi terdekat dan memberikan pengesahan segera.
"Penumpang teksi yang menggunakan
aplikasi MyTeksi IOS, aplikasi Android atau SMS, boleh mendapat pengesahan
dalam tempoh tiga minit. Selain itu, mereka turut diberikan nombor plat teksi,
nama pemandu, anggaran masa ketibaan serta tambang," jelas Wei Chuan dalam
satu sidang media baru-baru ini.
MyTeksi merupakan perkhidmatan
tempahan teksi mudah alih pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi
berasaskan telefon pintar untuk menempah dan menghantar teksi.
Sejak tahun 2011, pemandu teksi
telah menggunakan teknologi berasaskan telefon pintar MyTeksi untuk menerima
tempahan melalui SIM M2M Maxis untuk berkomunikasi dengan serta-merta.
Menurut Wei Chuan, pihaknya telah
melaburkan RM500,000 bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan aplikasi MyTeksi.
Menyokong inisiatif
Berdasarkan maklum balas yang
diterima, pihaknya turut mensasarkan untuk menembusi pasaran Asia Tenggara
seperti Indonesia dan Thailand menjelang tahun hadapan dengan aplikasi ciptaan
mereka.
Sementara itu, Presiden Persatuan
Teksi Wilayah Persekutuan & Selangor, Datuk Aslah Abdullah memberitahu,
pihaknya menyokong penuh inisiatif yang dilakukan MyTeksi dalam usaha
memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.
"Seramai 120 pemandu teksi
telah menggunakan MyTeksi sejak bulan September tahun lalu. Hasilnya memang
memberangsangkan kerana pelanggan kami gembira dengan perkhidmatan yang mereka
terima.
"Justeru, saya berharap semua
pemandu teksi yang ada boleh menggunakan perkhidmatan ini untuk jaminan
pendapatan yang lebih tinggi," ujar Pengerusi Comfort Communication Sdn.
Bhd. (Comfort Taxi) itu.
Syarikat, persatuan dan koperasi
teksi utama selain Comfort Taxi, sudah pun dalam proses menguji sistem MyTeksi.
Buat permulaan, perkhidmatan ini hanya boleh didapati di sekitar Lembah Klang.
Namun, ia akan dikembangkan ke seluruh negara secara berperingkat-peringkat.
Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan
Perniagaan Maxis, Fitri Abdullah melahirkan rasa bangga kerana menjadi rakan
teknologi bagi usaha terbaharu membangunkan aplikasi MyTeksi.
"Saya percaya, MyTeksi
berpotensi meningkatkan pengalaman pengguna teksi di Malaysia. Kami telah
melibatkan diri sejak di peringkat awal dengan menyediakan pelbagai khidmat
rundingan teknikal dan teknologi.
"Antaranya seperti konsep
perniagaan, pembangunan teknologi, percubaan awal pasaran dan seterusnya
penggunaan perkhidmatan MyTeksi.
"Pelancaran ini mengukuhkan
lagi komitmen kami untuk bekerjasama dengan pembekal dan pelanggan perniagaan
kami bagi membangunkan perniagaan yang inovatif serta relevan dengan pasaran
Malaysia," jelasnya.
Majlis pelancaran MyTeksi itu
dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri
Syed Hamid Albar.
sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm
No comments:
Post a Comment