Monday 30 July 2012

Tentetan Peristiwa Di Bulan Ramadhan

Selain turunnya wahyu Allah yang pertama di bulan Ramadhan, terdapat beberapa peristiwa besar yang juga berlaku di bulan yang penuh dengan barakah ini. Ketika dahulu, umat Islam yang merupakan umat yang disanjung tinggi dari timur ke barat, kerana terlimpahnya rahmat Allah kesan dari penerapan Islam dalam kehidupan mereka. Namun begitu, pada masa sekarang, setelah runtuhnya entiti penyatuan umat Islam, iaitu Khilafah pada 27 Rejab 1342H (3 Mac 1924), umat Islam dirundung penyakit yang semakin parah. Berikut merupakan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan:

17 Ramadhan 2H

Perang Badar Al-Kubra

Rasulullah SAW berangkat dari Madinah pada 8 Ramadhan. Ibnu Hisyam menyatakan bahawa perang ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Allah SWT telah mengutuskan segerombolan malaikat untuk membantu pasukan muslimin menghancurkan pasukan musyrik. Perang ini berlaku pada pagi Jumaat, 17 Ramadhan 2H di Badar. Kemenangan lebih kurang 300 orang  tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah ini yang telah megalahkan lebih kurang 1000 orang tentera musyrikin Mekah.

Ramadhan 5H

Persiapan Perang Khandaq

Persiapan dilakukan dengan mengali parit (khandaq) sekeliling kota Madinah. Tipu muslihat ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab. Ia diusulkan oleh Salman Al-Farisy. Peperangan ini terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah setelah pasukan muslimin berjaya memecahkan belahkan pasukan musuh.

20 Ramadhan 8H

Futuhul Makkah (Pembukaan Kota Mekah) dan Penghancuran Berhala

Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Baginda berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukadid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Setelah penaklukan Mekah, Rasulullah tinggal di kota itu selama 15 malam dengan melakukan sembahyang qasar. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah mengutuskan Khalid al-Walid untuk menghancurkan berhala Uzza, Amr bin Ash merobohkan Suwa’, dan Saad bin Zaid Al-Asyhaly menumbangkan Manat.

Ramadhan 9H

Perang Tabuk

Rasulullah SAW tidak mendapati tentera Rom lalu kembali ke Madinah.

Utusan Thaif

Utusan Thaif datang ke Madinah untuk masuk Islam dan pada ketika itu juga mereka terus melaksanakan kewajiban-kewajiban dan melaksanakan puasa disana.

Utusan Raja Himyar

Utusan Raja Himyar datang ke Madinah untuk menyatakan kemasukan Islam. Rombongan tersebut diterima dan dimuliakan oleh Rasulullah SAW. Beliau kemudian menulis batas-batas hak dan kewajiban mereka dalam bentuk dokumen bertulis.

Ramadhan 10H

Rasulullah SAW mengutuskan sepasukan tentera dibawah pimpinan Saidina Ali Karamallahu wajhah ke Yaman dengan membawa surat Nabi. Satu suku kaum yang berpengaruh di Yaman terus menerima Islam dan masuk Islam pada hari itu juga. Mereka bersembahyang berjamaah bersama Imam Ali ra. pada hari itu.

Ramadhan 53H

Kemenangan tentera Islam di Rhodesia.

Ramadhan 92H

Islam telah tersebar dan membuka kawasan- kawasan baru sehingga ke Afrika Utara, Iran, Afghanistan, Yemen dan Syria. Spanyol di bawah kekuasaan Raja Rhoderic of the Visigoths. Musa ibn Husair,  Wali Khilafah Ummayyah di Utara Afrika, bersama-sama dengan Paglima tentera Islam, Tariq Ziyad yang megetuai 12 000 tentera Islam berdepan dengan tentera kuffar seramai 90 000 yang diketuai sendiri oleh Raja Rhoderic. Antara peristiwa yang memotivasikan tentera- tentera Allah ini semasa perang ini ialah, apabila Tariq bin Ziyad mengarahkan tenteranya membakarkan kapal- kapal perang mereka sebelum bertempur dengan tentera Raja Rhoderic. Beliau berkata, ”Sesungguhnya, syurga Allah terbentang luas di hadapan kita, dan dibelakang kita terbentangnya laut. Kamu semua hanya ada dua pilihan, sama ada mati lemas, ataupun syahid”. Pasukan tentera ini bukan sahaja telah mengalahkan tentera-tentera kuffar pimpinan Raja Rhoderic, malah telah mampu membebaskan keseluruhan Sepanyol, Sicily dan sebahagian Perancis. Di sini, bermulanya zaman keemasan Islam di Andalus, dengan Islam menguasainya selama 700 tahun.

Ramadhan 129H

Kemenangan dakwah Bani Abbas di Khurasan dibawah pimpinan Abu Muslim Al-Khurasany.

Ramadhan 584H

Panglima tentera Islam, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Ketika bulan Ramadhan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ramadhan.

Ramadhan 658H

Semasa kemasukan tentera tartar di Baghdad, yang merupakan pusat pemerintahan Islam pada masa tersebut, tentera Tartar telah membunuh 1.8 juta kaum Muslimin. Selain itu, mereka mengarahkan penduduk Kristian supaya makan babi dan meminum arak secara terbuka dijalanan dan memaksa kaum muslimin turut serta. Azan turut dilarang daripada dilaungkan dan masjid- masjid disirami dengan arak oleh tentera- tentera Tartar yang biadap ini. Kecelakaan ini disambut oleh Saifudin Qutuz, pemerintah Mesir ketika itu dengan mengumpulkan semula kekuatan kaum muslimin untuk meghancurkan tentera Tartar dan bertembung dengan mereka pada Jumaat, 25 Ramadhan 658H di Ain Jalut. Peperangan ini turut disertai oleh isteri Sultan Saifudin Qutuz, Jullanar yang akhirnya syahid di medan pertempuran. Semasa beliau nazak, Saifudin Qutuz memapahnya dan berkata ”Wahai Kekasihku”. Ini dibalas oleh Jullanah dengan mengatakan, ”Janganlah kamu berkata demikian. Kasih lagilah kamu terhadap Islam”. Setelah itu, tentera- tentera ini terus berjihad, dan kemenangan di raih oleh Islam di depan pintu gerbang Mesir di Kota Ain Jalut.

Seutas kata semoga kita semua dapat mengambil pengajaran dan tauladan daripada segala peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Friday 20 July 2012

Solat Terawih

Sempena dengan ketibaan bulan yang penuh berkat dan mulia ini, abe hus akan kongsikan berkenaan solat terawih. maksud solat terawih, hukum dan niat solat terawih.


PENGERTIAN SUNAT TARAWIH
Tarawih ertinya beristirehat. Ia dikerjakan selepas solat isyak sehingga menjelang fajar. Solat Tarawih ini hanya dilakukan pada bulan ramadhan dan boleh dilakukan sama ada secara individu atau secara berjamaah. Bilangan rakaat yang dilakukan biasanya 8 rakaat dengan 3 witir atau 20 rakaat dengan 3 witir.
Sabda Rasulullah s.a.w :

Maksudnya : “Adalah Rasulullah s.a.w menganjurkan untuk mengerjakan solat pada malam bulan Ramadan tetapi tidak mewajibkannya. Baginda bersabda barang siapa bangun pada bulan Ramadan (mengerjakan solat tarawih) dengan rasa iman dan mengharapkan keredhaan Allah maka diampunilah dosa-dosanya yang telah lalu”.
Hukum Sembahyang Sunat Tarawih
  1. Hukumnya sunat Muakkad (yang sangat dituntut) dikerjakan oleh orangorang Islam lelaki dan perempuan pada tiap-tiap malam bulan Ramadan sama ada secara berseorangan atau berjemaah.

  2. Sunat dikerjakan di Masjid, Surau dan lain-lain tempat sembahyang orang-orang Islam.
Waktu Sembahyang Sunat Tarawih

Ialah selepas menunaikan sembahyang fardu Isyak dan sunat ba’diah dua rakaat.
Rakaat Sembahyang Sunat Tarawih:
  1. Pada umumnya masyarakat Islam di Malaysia mendirikan sembahyang Sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat, tetapi ada juga yang hanya menunaikan sekadar 8 rakaat sahaja.

  2. Pada zaman Rasulullah s.a.w. sembahyang tarawih dikerjakan sebanyak 8 rakaat sahaja supaya tidak menimbulkan sesuatu keberatan. Walau bagaimanapun terdapat juga hadith yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. pernah mengerjakan sebanyak 20 rakaat.

  3. Pada zaman Khalifah Omar bin al- Khattab r.a. pula beliau melaksanakannya sebanyak 20 rakaat kerana beliau berpendapat bahawa orangorang Islam pada zamannya itu tidak keberatan lagi menunaikan sembahyang sebanyak itu.

  4. Sembahyang sunat Tarawih hendaklah ditunaikan dua rakaat pada tiap-tiap 8 satu kali takbiratul ihram, kemudiannya dilakukan lagi sehingga genap rakaat yang dikehendaki.

  5. Lafaz Niat Sembahyang Sunat Tarawih:

    Ertinya:"Sahaja aku sembahyang sunat tarawih dua rakaat makmum kerana Allah Taala.
Sekian sahaja, semoga kita dapat tingkatkan amalan kita pada bulan mulia ini dan menjadi insan yang lebih baik di sisi Nya

Fadilat Palsu Solat Terawih

Salam emua, abe jus nak ucapkan selamat berpuasa kepaeda semua umat islam tidak kira di mana berada. Tadi ada terbaca satu artikel di webpage jais berkenaan dengan hadis palsu fadilat terawih. Ni abe hus kongsikan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu Wata'ala, Selawat dan Salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'Alaihi Wasallam serta para sahabatnya.


SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan Tarawih pada malam-malam Ramadan telah tersebar dengan meluas sekali. Media elektronik, cetak serta media massa lain turut memainkan peranan menyebarkannya melalui akhbar, dairi Islam, TV, radio, risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat, terutamanya dalam bulan yang diberkati itu. Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut.
 
Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadilat sembahyang Tarawih pada bulan Ramadan antaranya:
  • Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

  • Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

  • Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

  • Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

  • Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

  • Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W.

  • Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh
 
Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air mengenai kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunah Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini. Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang Tarawih dan kedudukannya dalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama kita dahulu.
 
Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya: Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)
 
Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).
 
Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis mengenai pendustaan atas nama Nabi Muhammad s.a.w. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad s.a.w. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam? seterusnya dia berkata: Ulama sudahpun sepakat mengenai haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Firman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).
 
Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan Tarawih dalam bulan Ramadan seperti kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang sebenarnya hadis itu pun direka atas nama nabi Muhammad s.a.w. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang Zuhur dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri. Jika dia meninggalkan sembahyang Asar dosanya adalah seperti meruntuhkan Kaabah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan ke dalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan Tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun seksaannya, namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.
 
Antara ciri-ciri hadis maudhu`(rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah :
1.   Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad s.a.w. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.
2.   Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan sedangkan ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih.
3.   Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi seperti yang terdapat dalam hadis-hadis sahih.
4.   Dalam sesetengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama hadis sudah mengatakan bahawa hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang sahih. Yang lainnya palsu.
 
Oleh itu umat Islam sekalian, terutamanya pihak seperti institusi agama di peringkat negeri dan pusat, sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan dakyah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

 sumber : http://www.jais.gov.my/ramadhan/fadhilatterawih.php

Friday 13 July 2012

Demi kuasa dan lubuk minyak



LIMA pulau gunung berapi dan tiga kawasan berbatu yang membentuk Kepulauan Senkaku menjadi subjek rebutan tiga negara iaitu China, Jepun dan Taiwan. Kawasan tidak berpenghuni berkeluasan tujuh kilometer (km) persegi itu terletak di timur laut Taiwan, timur China dan barat daya Jepun.
Rundingan San Francisco yang dimeterai pada tahun 1951 menyaksikan Kepulauan Nansei Shoto yang sebelum itu dipegang oleh Amerika Syarikat (AS) dipulangkan semula kepada Jepun pada tahun 1971.
Pengurusan Kepulauan Senkaku yang terletak di timur laut China itu pula diserahkan kepada Jepun pada 14 Februari 1985 yang kemudiannya dijadikan sebahagian daripada Kepulauan Nansei Shoto atau Ryukyu yang kini dikenali sebagai wilayah Okinawa.
Tiada bantahan disuarakan China dan Taiwan ketika itu sehinggalah penemuan sumber minyak dan gas asli disahkan di kepulauan berkenaan.
Difahamkan sumber minyak di Senkaku boleh mencecah 100 bilion tong. Hasil bumi tersebut dianggarkan bernilai AS$6 trilion (RM19 trilion) dan dikatakan melebihi daripada keluaran negara kasar (KNK) tahunan AS. Sebagai tambahan, sebanyak 200 bilion meter kubik gas asli juga bersemadi di kawasan sekitar.
China menyatakan pulau Senkaku atau dikenali sebagai Diaoyu oleh mereka adalah sebahagian daripada China sejak zaman purba lagi. Ia menjadi lokasi sumber hasil laut yang penting ketika Taiwan masih berada di bawah pemerintahan China.
Pada tahun 1996, Jepun mendirikan rumah api di salah sebuah pulau di kepulauan tersebut. Sekumpulan aktivis China kemudiannya belayar beberapa kali di kepulauan itu dan dalam satu insiden, seorang aktivis Hong Kong, David Chan terjun ke dalam laut dan mati lemas.
Selepas itu, cubaan aktivis-aktivis China dan Taiwan untuk memasuki kawasan kepulauan itu berkurang. Pada tahun 2004, Jepun menahan tujuh aktivis China yang mendarat di kepulauan itu.
Terdapat juga ketegangan melibatkan bot-bot peronda China dan kapal-kapal nelayan Taiwan. Pada tahun 2005 pula, 50 bot nelayan Taiwan mengadakan protes berhampiran kepulauan itu kerana sering dihalau dan diganggu peronda laut Jepun.
Sorotan pertikaian Senkaku terus meruncing dan yang terbaharu apabila tiga bot peronda China memasuki perairan kepulauan berkenaan. Hal tersebut tidak disenangi Jepun yang meminta wakil China tampil membuat kenyataan.

PULAU Dokdo kini terletak di bawah pengawasan polis Korea Selatan meskipun Jepun masih menuntut hak ke atas pulau ini.


"Sudah jelas bahawa pulau Senkaku terletak dalam wilayah Jepun dengan mengambil kira pandangan sejarah dan dari segi undang-undang antarabangsa. Pulau itu di bawah kawalan efektif sepenuhnya oleh kami." ujar Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Osamu Fujimura.
Namun, China tetap berkeras untuk mendapatkan kedaulatan Senkaku, malah dikhabarkan memperkuatkan ketenteraan mereka di sekitar perairan tersebut.
Spratly rebutan enam negara
Perebutan Kepulauan Senkaku hakikatnya telah membawa kita untuk melihat dengan meluas mengenai perebutan banyak lagi pulau-pulau lain di Asia Timur.
Hanya beberapa kes berjaya menemui titik penghujung sebagai contoh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2008 menetapkan kedaulatan Pulau Batu Putih diberikan kepada Singapura berbanding Malaysia.
Selebihnya, persengketaan lain terus panas dan belum berpenghujung.
Sebagai contoh Kepulauan Takeshima atau Dokdo sehingga kini menjadi pertikaian antara Jepun dan Korea Selatan.
Tuntutan yang dilakukan Jepun pada tahun 1905 itu sejajar dengan rampasan Semenanjung Korea ketika itu. Bagaimanapun Korea Selatan mendakwa kepulauan itu adalah sebahagian daripada wilayah mereka selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1945.

BOT peronda China yang memasuki perairan Senkaku baru-baru ini mencetuskan kemarahan Jepun.


Selain itu, Kepulauan Spratly yang dituntut China, Malaysia, Filipina, Taiwan, Vietnam dan Brunei mungkin merupakan perebutan paling epik dalam sejarah.
Kepulauan yang terdiri daripada 190 pulau kecil di kawasan berkeluasan kira-kira lima km persegi di Laut China Selatan itu dikhabarkan mempunyai sumber minyak dan gas yang amat menguntungkan.
China menuntut keseluruhan kawasan kepulauan yang didakwa adalah milik mereka sejak tahun 200 Sebelum Masihi. Negara-negara lain pula hanya mahukan beberapa bahagian pulau tersebut.
Krisis pergelutan keenam-enam negara itu terjadi selepas Jepun menyerah kalah dan meninggalkan Spratly pada Perang Dunia Kedua.
Filipina dan Vietnam mengambil alih beberapa pulau di gugusan itu bermula tahun 1960-an diikuti China dan Malaysia pada lewat tahun 1970-an.
Kesemua enam negara Asia itu bersetuju dengan Deklarasi Manila bagi mengelakkan konflik di kawasan tersebut pada tahun 1992 dan perjanjian itu dipanjangkan sehingga tahun 2002.
Pada tahun 2005, China dan Filipina menandatangani persetujuan bagi melindungi minyak dan gas di kawasan itu tetapi selepas beberapa tahun, konflik kembali timbul disebabkan permusuhan ketenteraan laut. Filipina dan Vietnam menuduh China cuba menjalankan sabotaj ke atas eksplorasi minyak di kawasan persekitaran.
Perkembangan terbaharu menyaksikan anggota negara Asia mahu konvensyen maritim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjadi asas penyelesaian pertikaian di Laut China Selatan.
Bagaimanapun, China dikhabarkan tidak berminat untuk merujuk kepada PBB.
Yeonpyeong dan Kuril
Permusuhan Korea Utara dan Korea Selatan bukan lagi asing. Konfrontasi dua negara itu memuncak apabila melibatkan perebutan Pulau Yeonpyeong. Pulau yang terletak di Garisan Terbatas Utara (NLL) Laut Kuning itu, kini bertindak sebagai sempadan maritim dua buah negara tersebut
Korea Utara bagaimanapun menolak NLL yang direka PBB kerana ia dianggap berat sebelah.
Ia menyebabkan Korea Utara melakukan serangan ke atas Korea Selatan pada tahun 2010.

KEPULAUAN Spratly menjadi rebutan enam negara dan masih belum bertemu penyelesaian.


Sementara itu, Kepulauan Kuril yang telah disahkan sebagai hak milik Rusia kembali dituntut Jepun. Pulau Etofuru, Kunashiri, Shikotan dan Habomai yang membentuk Kuril dipunyai oleh Kesatuan Soviet pada tahun 1945.
Berdasarkan tuntutan Soviet, kesemua pulau perlu diserahkan kepada mereka menerusi Perjanjian Pasca Perang Dunia Kedua Yalta dan Potsdam dan kerajaan Rusia telah pun menetapkan polisi tersebut.
Jepun kekal dengan pendirian mereka yang mengatakan bahagian utara kepulauan itu ialah sebahagian integral negara mereka yang diambil secara haram oleh Kesatuan Soviet.
Mengulas lanjut mengenai perebutan pulau-pulau di Asia Timur itu, Profesor Sains Politik di Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Mohamad Agus Yusoff menyatakan, ia didorong oleh faktor-faktor seperti maruah, sejarah, geografi, keselamatan, pertahanan dan sumber alam.
Jelas beliau setiap negara yang menuntut sesebuah pulau mahu menang demi meningkatkan semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat.
"Dalam kes Senkaku, kedudukan strategik di Laut China Timur menjadikannya lokasi terbaik untuk pembentukan pusat maritim. Selain itu ia juga berpotensi tinggi untuk pelancongan dan ekonomi menerusi hasil minyak serta gas asli.
"Sebagai contoh sekiranya China atau Jepun memenangi tuntutan dan kemudiannya mendirikan markas ketenteraan laut di kepulauan itu, Taiwan pasti bimbang dengan keselamatan negara mereka," katanya.

Wednesday 11 July 2012

Syiling Emas Era Perang Salib

TEL AVIV: Satu tempayan syiling emas daripada era Perang Salib yang bernilai hingga AS$500,000 (RM1.58 juta) ditemui tertanam dekat sebuah kubu purba tentera Rom di Israel.
Syiling emas itu ditanam tentera Kristian atas arahan kumpulan panji-panji satria ketika tentera Kristian berdepan serangan berterusan daripada angkatan tentera Islam yang besar.

Kumpulan panji-panji satria itu ditewaskan pada April 1265.
Syiling emas itu yang mempunyai nilai tinggi walaupun pada tahun 1265 dan disangka ditanam - sebenarnya disembunyikan dalam sebuah tempayan pecah bagi mengelakkan ia ditemui.

Kubu berkenaan juga dimusnahkan pada April 1265 oleh tentera Mamluk yang menewaskan tentera Salib dan harta itu hanya terselamat berikutan buah fikiran seorang daripada tentera Kristian.

“Ia ada dalam tempayan kecil yang sebahagiannya pecah,” kata Oren Tal daripada Universiti Tel Aviv kepada Fox News.

“Muslihatnya adalah untuk menanam sesuatu yang pecah dalam tanah dan menimbusnya bagi menyembunyikan syiling emas di dalamnya. “Sekiranya, seseorang menemui tempayan itu, dia tidak akan menggalinya dan tidak akan melihat isi di dalamnya serta menemui syiling emas itu. Apabila kita mula mengalihnya, syiling emas itu akan keluar,” katanya.

Kubu tentera Rom di Taman Negara Apollonia itu telah membongkar sebahagian besar harta karun arkeologi, tetapi saintis yang membuat penggalian lapisan tanah pada kurun ke-13 itu, terkejut dengan penemuan satu tempayan syiling emas. Tempayan tanah liat itu mengandungi lebih 100 keping syiling emas dari zaman tentera Salib menakluk kubu berkenaan yang pada asalnya dibina oleh tentera Rom.
Syiling emas yang ditemui dalam kubu itu merujuk kembali pada zaman empayar Fatimiyah di Afrika Utara dan berusia 200 hingga 300 tahun lebih awal berbanding kubu yang musnah itu. Syiling emas itu dikeluarkan di Tripoli dan Iskandariah dan sangat berharga.

“Syiling era Fatimiyah sangat sukar dikaji.

“Hurufnya kadangkala amat sukar untuk ditafsir,” kata Tal.

Syiling itu boleh dijual hingga AS$5,000 (RM15,887) sekeping, menurut akhbar Israel, Haaretz


sumber

Tuesday 10 July 2012

Cara Syaitan Menelanjangkan Wanita


Cara Syaitan Telanjangkan Wanita

Syaitan dalam menggoda manusia memiliki pelbagai cara strategi, dan yang sering dipakai adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu, yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan (ammaratun bis su’). Syaitan seakan mengetahui kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian muslimah.

Berikut adalah cara bertahap:

1. Menghilangkan Definisi Hijab

Dalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk hijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar’i, pakaian, dengan apa pun bentuk dan namanya tetap pakaian.

Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian ikut ganti juga. Demikian pula ketika seseorang berpindah dari suatu negeri ke negeri yang lain, maka harus menyesuaikan diri dengan pakaian penduduknya, apapun yang mereka pakai. Berbeza halnya jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa hijab adalah pakaian syar’i (identiti keislaman), dan memakainya adalah ibadah bukan sekadar gaya ( fesyen ). Biarpun hidup bila saja dan di mana saja, maka hijab syar’i tetap dipertahankan.

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus. Caranya?

Pertama, Membuka Bahagian Tangan

Telapak tangan mungkin sudah kebiasaannya terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). “Ah tidak apa-apa, kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang? Begitu bisikan syaitan. Dan benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan berbisik,” Tu.. tidak apa-apa kan?

Kedua, Membuka Leher dan Dada

Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi. “Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi, yakni terbuka bahagian atas dada kamu.” Tapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sekadar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja yang terbuka.

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen setengah lingkaran hingga yang fesyen bentuk huruf “V” yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian sensitif lagi dari dadanya.

Ketiga, Berpakaian Tapi Telanjang

Syaitan berbisik lagi, “Pakaian mu hanya gitu-gitu saja, yak “cool” cari fesyen atau bahan lain yang lebih bagus! Tapi apa ya? Si wanita berfikir. “Banyak fesyen dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat yang agak ketat biar lebih sedap/cantik dipandang,” syaitan memberi idea baru.

Maka tergodalah si wanita, di carilah fesyenpakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan transparent. “Mungkin tak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin,” begitu dia menokok-nambah. Walhasil pakaian tersebut akhirnya membudaya di kalangan wanita muslimah, makin hari makin bertambah ketat dan transparent, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat ‘ariyat (berpakaian tetapi telanjang).

Keempat, Agak di Buka Sedikit

Setelah para wanita muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi. Dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru yang sepertinya “cool” dan “vogue”, yakni dibisiki wanita itu, “Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, apa tak sebaiknya di belah hingga lutut atau mendekati paha?” Dengan itu kamu akan lebih selesa, lebih kelihatan lincah dan energik.” Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahagian bawah hingga lutut atau mendekati paha ternyata membuat lebih selesa dan leluasa, terutama ketika akan duduk atau naik kenderaan. “Yah…. tersingkap sedikit tak apa-apa lah, yang penting enjoy,” katanya.

Inilah tahapan awal syaitan merosak kaum wanita, hingga tahap ini pakaian masih tetap utuh dan panjang, hanya fesyen, corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hijab syar’i yang sebenarnya. Maka kini mulailah syaitan pada tahap berikutnya.

2. Terbuka Sedikit Demi Sedikit

Kini syaitan melangkah lagi, dengan tipu daya lain yang lebih “power”, tujuannya agar para wanita menampakkan bahagian aurat tubuhnya.

Pertama, Membuka Telapak Kaki dan Tumit

Syaitan Berbisik kepada para wanita, “Baju panjang benar-benar tidak selesa, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih kurang leluasa, lebih elok kalau dipotong sahaja hingga atas mata kaki.” Ini baru agak longgar. “Oh…… ada yang yang terlupa, kalau kamu pakai baju sedemikian, maka jilbab yang besar tidak sepadan lagi, sekarang kamu cari jilbab yang kecil agar lebih serasi dan sepadan, ala……. orang tetap menamakannya dengan jilbab.”

Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini terburu-buru mencari fesyen pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan kasut tumit tinggi, yang kalau untuk berjalan, dapat menarik perhatian orang.

Kedua, Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis

Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan ternyata orang yang melihat juga tidak begitu ambil peduli. Maka syaitan kembali berbisik, “Ternyata kebanyakan manusia menyukai apa yang kamu lakukan, buktinya mereka tidak ada reaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu masih kurang leluasa, maka cubalah kamu cari fesyen lain yang lebih menarik, bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya terlihat kira-kira sepuluh centimetre saja.” Nanti kalau sudah biasa, baru kamu cari fesyen baru yang terbuka hingga separuh betis.”

Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwanya dia turutkan. Maka terbiasalah dia memakai pakaian yang terlihat separuh betisnya kemana saja dia pergi.

Ketiga, Terbuka Seluruh Betis

Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah berubah, syaitan telah berhasil membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak menyelisihi para wanita di masa Nabi dahulu. Namun bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, “Ah jelas tidak, kan sekarang zaman sudah berubah, kalau zaman dulu para lelaki mengangkat pakaiannya hingga setengah betis, maka wanitanya harus menyelisihi dengan menjulurkannya hingga menutup telapak kaki, tapi kini lain, sekarang banyak lelaki yang menurunkan pakaiannya hingga bawah mata kaki, maka wanitanya harus menyelisihi mereka iaitu dengan mengangkatnya hingga setengah betis atau kalau perlu lebih ke atas lagi, sehingga nampak seluruh betisnya.”

Tetapi? apakah itu tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki,” bersungut. “Fitnah? Ah…… itu kan zaman dulu, di masa itu kaum lelaki tidak suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah berbeza, kini kaum lelaki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini bererti sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama- sama suka? Lihat saja fesyen pakaian di sana-sini, dari yang di pasar malam hingga yang berjenama di pusat membeli belah, semuanya memperagakan fesyen yang dirancang khusus untuk wanita maju di zaman ini. Kalau kamu tidak mengikutinya, akan menjadi wanita yang ketinggalan zaman.”

Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh betis akhirnya menjadi kebiasaan, apalagi ramai yang memakainya dan sedikit sekali orang yang mempersoalkannya. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan tahap terakhir dari tipu dayannya untuk melucuti hijab wanita.

3. Serba Mini

Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian sehari- harian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. “Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu-itu saja, sekarang ini fesyen skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah.”

Maka akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian bawah paha dia pakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggungnya dan berbagai fesyen lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian resmi, pakaian malam, petang, musim panas, musim sejuk dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh paha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba. Begitulah sesuatu yang sepertinya mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.

Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang sering disebut dengan “bikini”. Kerana semuanya begitu, maka harus ikut begitu, dan na’udzubillah bisikan syaitan berhasil, tujuannya tercapai, “Menelanjangi Kaum Wanita.”

Selanjutnya terserah kamu wahai wanita, kalian semua sama, telanjang di hadapan lelaki lain, di tempat umum. Aku berlepas diri kalau nanti kelak kalian sama- sama di neraka. Aku hanya menunjukkan jalan, engkau sendiri yang melakukan itu semua, maka tanggung sendiri semua dosamu” Syaitan tak ingin ambil risiko.

Penutup

Demikian halus, cara yang digunakan syaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa. Maka hendaklah kita semua, terutama orang tua jika melihat gejala menyimpang pada anak-anak gadis dan para wanita kita sekecil apapun, segera secepatnya diambil tindakan. Jangan biarkan berlarut-larutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka sakan menjadi sukar bagi kita untuk mengatasinya. Membiarkan mereka membuka aurat bererti merelakan mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita muslimah, jangan jerumuskan mereka ke dalam kebinasaan yang menyengsarakan, baik di dunia mahupun di akhirat.

Dipetik dari Kitab “At ta’ari asy syaithani”, Adnan ath- Thursyah”

Hadith mengenai Aurat perempuan

Daripada Asma’ binti U’mais ra, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah Saw telah datang untuk berjumpa dengan Aisyah binti Abu Bakar (isteri baginda Saw),dan bersama Aisyah pada ketika itu saudara perempuannya (iaitu saudara perempauan Aisyah) , Asma’ binti Abu Bakar.Pada ketika itu Asma’ memakai pakaian orang Syam (sejenis pakaian arab) yang lengannya agak luas terbuka (yang mungkin menampakkan lengan dan bahagian badan yang lain).Apabila Rasulullah Saw melihat keadaan Asma’ sedemikian,lantas Rasulullah Saw bangun dan keluar dengan cepat.Apabila Aisyah melihat Rasulullah Saw keluar dengan cepat,maka dia berkata kepada kepada Asma’ (mungkin Aisyah perasan apa yang tidak disenangi oleh Rasulullah Saw ) : ”Beredarlah,sesungguhnya Rasulullah Saw telah melihat perkara yang tidak disenanginya.” Setelah Asma’ beredar,maka Rasulullah Saw datang kembali untuk berjumpa dengan Aisyah.Maka Aisyah terus bertanya,mengapa baginda bangun dan terus keluar?

Maka jawab baginda Saw : ADAKAH KAU TIDAK MELIHAT KEADAANYA (IAITU KEADAAN ASMA’ BERPAKAIAN) ?SESUNGGUHNYA SEORANG PEREMPUAN MUSLIMAH ITU TIDAK BOLEH MENAMPAKKAN SESUATU DARI TUBUH BADANNYA MELAINKAN INI DAN INI (RASULULLAH SAW MENUNJUKKAN PERGELANGAN TANGANNYA DAN MENGGENGGAMNYA DAN JUGA RASULULLAH SAW MENEKAPKAN KEDUA TANGANNYA KE PIPINYA UNTUK MENUNJUKKAN MUKA SAHAJA).

Hadith ini ada dinyatakan oleh Al-Imam At-Tabrani di dalam kitabnya Al-Mu’jam Al-Kabir dan Al-Mu’jam Al-Ausat – (Kitab Hadith)

Hadith ini juga ada dinyatakan oleh Al-Imam Al-Baihaqi di dalam kitabnya As-Sunan Al-Kubra – .(Kitab Hadith)

Hadith ini juga dinyatakan oleh As-Syeikh Nasiruddin Al-Albani di dalam kitabnya Jilbab Al-Marah Al-Muslimah. – (Kitab tentang pakaian muslimat)

Secara kesimpulannya hadith ini adalah hasan sebagai mana yang dinyatakan oleh As-Syeikh Nasiruddin Al-Albani.

Penjelasan

Daripada hadith ini,menunjukkan bahawa apa yang boleh diperlihatkan oleh seseorang perempuan muslimah dari tubuh badannya,adalah kedua belah tapak tangannya dan mukanya sahaja.Maka selain daripada itu,maka haram di perlihatkan.Ini jelas daripada apa yang Rasulullah Saw jelaskan sambil menggenggam pergelangan tangannya untuk menunjukkan paras@takat yang boleh dilihat pada bahagian tangan,dan Rasulullah Saw menekapkan tangan ke pipinya untuk menjelaskan bahawa dari bahagian kepala hanya muka yang boleh diperlihatkan…Maka selain itu,wajib ditutup…

Maksud tutup disini,adalah dilarang untuk memperlihatkan bentuknya,rupanya dan warnanya.Kalau pakaian tu menutupi tapi ketat,tak dikira tutup aurat sebab nampak bentuk.Kalau nipis,dan nampak terbayang-bayang tak dikira tutup aurat.Seperti ramai pada hari ini,wanita-wanita yang pakai tudung tapi nipis,hingga nampak bayangan leher dan rambut.Ini juga tidak menutup tidak aurat.Ini kerana tujuan pakai tudung,adalah untuk tutup keseluruhan aurat.

Secara umumnya para ulamak meletakkan syarat2 pakaian untuk muslimat adalah seperti berikut :

Mesti menutupi seluruh badannya kecuali apa yang dibenarkan untuk diperlihatkan iaitu wajah dan tapak tangan.

Pakaian itu janganlah terlampau berhias-berhias,hingga menarik perhatian.

Mestilah tebal yang tidak nipis,hingga boleh menampakkan warna kulitnya.

Mestilah agak besar dan tidak ketat hingga menampakkan bentuk badannya.

Pakaian itu sendiri tidak terlalu wangi hingga menarik perhatian orang.Manakala wangi sekadar untuk menutup bau busuk,tidak mengapa,seperti bau sabun basuh yang tidak melampau.

Pakaian itu tidak menyerupai pakaian lelaki,jika orang pandang sahaja,itu pakaian lelaki maka haram memakainya.

Tidak menyerupai pakaian perempuan kafir

Pakaian itu tidak pelik,hingga lain daripada yang lain.Hingga orang pandang pun pelik.

Wallahu’alam…

p/s : sharing is caring. sme2 la kita kongsikan artikel ni dengan adik beradik, sedara nara n kawan-kawan. Dan pesan abe hus, jangan lupa untuk sama-sama menasihati agar kita tidak termakan godaan syaitan yang tidak akan berhenti menggoda umat Nabi Muhammad S.A.W

Sunday 8 July 2012

Cara Pantas Dapatkan Teksi


TEKSI merupakan salah satu pengangkutan pilihan bagi kebanyakan pengguna di Malaysia untuk menuju ke destinasi yang diingini. Pengguna boleh menunggu di tepi jalan atau menghubungi pihak yang mengendalikan perkhidmatan tersebut.
Meskipun ramai yang memilih pengangkutan awam lain seperti bas, Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) atau monorel, namun hakikatnya teksi masih relevan dalam dunia hari ini.
Dalam usaha menawarkan kelainan kepada pengguna, MyTeksi telah melancarkan perkhidmatan tempahan teksi secara mudah alih yang pertama di Malaysia. Ia membolehkan penumpang untuk menempah teksi dengan mudah menggunakan telefon pintar dan tablet (iOS dan Android) selain menghantar sistem khidmat pesanan ringkas (SMS).
Pengurus Besar MyTeksi, Chew Wei Chuan berkata, khidmat tempahan teksi secara mudah alih yang inovatif ini dipacu oleh teknologi mesin ke mesin (M2M) Maxis dan menggunakan keupayaan Maxis sebagai pembekal perkhidmatan rangkaian 3G serta 2G terbesar di Malaysia.
"Kelainan tempahan teksi secara digital baharu ini terletak kepada keupayaannya untuk membolehkan penumpang menempah teksi dengan sebarang alat mudah alih, memadankan penumpang dengan pemandu teksi terdekat dan memberikan pengesahan segera.
"Penumpang teksi yang menggunakan aplikasi MyTeksi IOS, aplikasi Android atau SMS, boleh mendapat pengesahan dalam tempoh tiga minit. Selain itu, mereka turut diberikan nombor plat teksi, nama pemandu, anggaran masa ketibaan serta tambang," jelas Wei Chuan dalam satu sidang media baru-baru ini.
MyTeksi merupakan perkhidmatan tempahan teksi mudah alih pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi berasaskan telefon pintar untuk menempah dan menghantar teksi.
Sejak tahun 2011, pemandu teksi telah menggunakan teknologi berasaskan telefon pintar MyTeksi untuk menerima tempahan melalui SIM M2M Maxis untuk berkomunikasi dengan serta-merta.
Menurut Wei Chuan, pihaknya telah melaburkan RM500,000 bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan aplikasi MyTeksi.
Menyokong inisiatif
Berdasarkan maklum balas yang diterima, pihaknya turut mensasarkan untuk menembusi pasaran Asia Tenggara seperti Indonesia dan Thailand menjelang tahun hadapan dengan aplikasi ciptaan mereka.
Sementara itu, Presiden Persatuan Teksi Wilayah Persekutuan & Selangor, Datuk Aslah Abdullah memberitahu, pihaknya menyokong penuh inisiatif yang dilakukan MyTeksi dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna.





"Seramai 120 pemandu teksi telah menggunakan MyTeksi sejak bulan September tahun lalu. Hasilnya memang memberangsangkan kerana pelanggan kami gembira dengan perkhidmatan yang mereka terima.
"Justeru, saya berharap semua pemandu teksi yang ada boleh menggunakan perkhidmatan ini untuk jaminan pendapatan yang lebih tinggi," ujar Pengerusi Comfort Communication Sdn. Bhd. (Comfort Taxi) itu.
Syarikat, persatuan dan koperasi teksi utama selain Comfort Taxi, sudah pun dalam proses menguji sistem MyTeksi. Buat permulaan, perkhidmatan ini hanya boleh didapati di sekitar Lembah Klang. Namun, ia akan dikembangkan ke seluruh negara secara berperingkat-peringkat.
Dalam pada itu, Ketua Perkhidmatan Perniagaan Maxis, Fitri Abdullah melahirkan rasa bangga kerana menjadi rakan teknologi bagi usaha terbaharu membangunkan aplikasi MyTeksi.
"Saya percaya, MyTeksi berpotensi meningkatkan pengalaman pengguna teksi di Malaysia. Kami telah melibatkan diri sejak di peringkat awal dengan menyediakan pelbagai khidmat rundingan teknikal dan teknologi.
"Antaranya seperti konsep perniagaan, pembangunan teknologi, percubaan awal pasaran dan seterusnya penggunaan perkhidmatan MyTeksi.
"Pelancaran ini mengukuhkan lagi komitmen kami untuk bekerjasama dengan pembekal dan pelanggan perniagaan kami bagi membangunkan perniagaan yang inovatif serta relevan dengan pasaran Malaysia," jelasnya.
Majlis pelancaran MyTeksi itu dirasmikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar.


sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0627&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm